‘Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah’ Oleh: Ghafani Awang Teh (JAKIM)

Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari.

Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kemabli konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Ibnu Taimiyyah ( 1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 – 1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.

Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.

Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.

Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu. Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.

Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh.

Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:

. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.

. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).

. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.

. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).

. Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi.

. Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik.

. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya.

. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.

Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya.

. Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh.

. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.

. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.

. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.

. Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.

. Amalan tariqah dilarang sama sekali.

. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.

Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.

Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.


Tarikh : 23 Disember 2006
Sumber : Pengarah Bahagian ILIM
Editor : PRO JAKIM
Hits : 6290

———————————————–

sumber : www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=894

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0005 Topik adalah Iman.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: “Kami dilarang Rasulullah saw. bertanya sesuatu kepadanya. Kerana itu kami mengharapkan kedatangan orang dusun yang cerdas yang hendak bertanya kepada beliau, sehingga kami dapat mendengarkannya. Lantas, pada suatu ketika datang seorang lelaki penduduk dusun1). Dia berujar, “Ya, Muhammad telah datang kepada kami utusan Anda. Dia mengatakan kepada kami, bahawa Anda utusan Allah.” Jawab Nabi saw., “Ya, benar!” Tanya orang itu, “Siapa yang menjadikan langit?” Jawab Nabi saw.,”Allah!” Dia bertanya pula, “Siapa yang menjadikan bumi?” Jawab Nabi saw., “Allah!” Tanyanya lagi, “Siapakah yang memasakkan gunung-gunung ini, dan yang menjadikan segala isinya?” Jawab Nabi saw., “Allah!” Ujar orang itu, “Demi Yang menjadikan langit dan bumi, dan Yang memasakkan gunung-gunung ini, sungguhkah Allah yang mengutus Anda?” Jawab Nabi saw., “Ya, benar!” Kata orang itu pula, “Utusan Anda mengatakan, kami wajib solat lima kali sehari semalam.” Jawab Nabi saw., “Ya, benar!” Ujar orang itu, “Demi Yang telah mengutus Anda, sungguhkah Allah yang memerintahkan kepada Anda?” Jawab Nabi saw., “Ya, benar!” Kata orang itu pula, “Utusan Anda mengatakan, bahawa kami wajib membayar Zakat harta kami.” Jawab Nabi saw., “Ya, benar!” Kata orang itu, “Demi Yang telah mengutus Anda, sungguhkah Allah yang memerintahkan kepada Anda?” Jawab Nabi saw., “Ya, benar!” Ujar orang itu pula, “Utusan Anda mengatakan, bahawa kami wajib puasa sebulan Ramadhan setiap tahun.” Jawab Nabi saw. “Ya, benar!” Kata orang itu, “Demi Yang mengutus Anda, sungguhkah Allah yang memerintahkannya kepada Anda?” Jawab Nabi saw., “Ya, benar” Kata orang itu pula, “Utusan Anda juga mengatakan, bahawa kami wajib Haji ke Baitullah, apabila kami sanggup melaksanakannya.” Jawab Nabi saw., “Ya,benar!” Kata Anas, “Sesudah itu, orang itu pun berlalu sambil berujar: Demi Allah yang telah mengutus Anda dengan kebenaran, aku tidak akan menambah dan tidak akan mengurangi semuanya.” Maka bersabda Nabi saw., “Jika apa yang dikatakannya itu benar-benar ditepatinya, nescaya dia masuk syurga.”


  1. Lelaki itu bernama “ Dhimam bin Tsa’labah”. Dia datang kepada Nabi saw. Setelah dia masuk Islam, untuk lebih memantapkan kenyakinannyadan ingin berbicara langsung dengan Nabi saw. ( Syarahan Nawawi, I : 144)

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0004 Topik adalah Iman.

Dari Thalhah bin Ubaidillah r.a., katanya: “Seorang lelaki penduduk Nejed datang kepada Rasulullah saw. dengan rambut kusut. Kami mendengar suaranya, tetapi tidak jelas bagi kami apa yang dikatakannya. Akhirnya dia mendekat kepada Rasulullah saw., kiranya dia menanyakan perihal Islam. Jawab Rasulullah saw., “Solat lima kali sehari semalam.” Tanya orang itu, “Adakah kewajiban kami selain itu?” Jawab Nabi saw., “Tidak! Kecuali jika engkau mahu mengerjakan solat sunat.” Kata beliau selanjutnya, “Puasa bulan Ramadhan.” Tanya orang itu, “Adakah kewajipan kami selain itu?” Jawab Nabi saw., “Tidak! Kecuali jika engkau mahu puasa sunat.” Nabi saw. melanjutkan pula, “Zakat.” Tanya orang itu, “Adakah kewajiban kami selain itu?” jawab Nabi saw., “Tidak! Kecuali jika engkau mahu bersedekah sunat.” Kata Thalhah, “Kemudian orang itu berlalu sambil berkata: “Demi Allah! Apa yang diajarkan Rasulullah itu tidak akan kutambah dan tidak akan ku kurangi.

” Sabda Rasulullah saw., “Beruntunglah dia, jika apa yang diucapkannya itu benar-benar ditepatinya.”

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0003 Topik adalah Iman.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw, bersabda: “Bertanyalah kepadaku!” Karena itu para sahabat berebut hendak bertanya. Tetapi sekonyong.konyong muncul seorang laki-laki, lalu dia duduk dekat lutut Nabi saw. dan bertanya, “Apakah yang dikatakan Islam?” Jawab Nabi saw., “(1) Jangan mempersekutukan Allah dengan sesuatu; (2) Tegakkan solat; (3) Bayarkan zakat; dan (4) Puasa bulan Ramadhan,” Kata orang itu, “Engkau benar!” Lalu dia bertanya pula, “Ya, Rasulullah! Apakah yang dikatakan Iman?” Jawab Nabi saw., “(1) Iman dengan Allah; (2) Iman dengan para malaikat-Nya; (3) Iman dengan kitab-kitab-Nya; (4) Iman hendak bertemu dengan-Nya; (5) Iman dengan para Rasul-Nya; (6) Iman dengan berbangkit; dan (7) Iman dengan kadar semuanya.”

“Engkau benar!” ujar orang itu. Tanyanya pula, “Ya, Rasulullah! Apakah yang dikatakan Ihsan?” Jawab Rasulullah saw., “Hendaklah engkau takut kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekalipun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.” “Engkau benar!” katanya. Tanyanya pula, “Ya, Rasulullah! Bilakah terjadi Kiamat?” Jawab Rasulullah saw., “Orang yang ditanya tentang hal itu, tidak lebih tahu daripada yang menanya. Tetapi akan kuterangkan kepada mu tanda-tandanya: (1) Apabila engkau lihat budak perempuan, melahirkan majikannya, itu salah satu daripada tanda-tandanya; (2) Apabila engkau lihat orang-orang bodoh yang miskin menjadi raja di bumi, itu pun termasuk tanda-tandanya; (3) Apabila engkau lihat gembala-gembala ternak telah bermewah-mewah di gedung-gedung nan indah, yang demikian itu juga termasuk tanda-tandanya.” Kemudian, ada lima perkara ghaib yang tidak dapat diketahui orang selain Allah. Lalu Rasulullah membaca ayat:

“Sesungguhnya Allah, hanya Dia sajalah yang mengetahui tentang hari kiamat; Dialah yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui apa yang dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya besok; dan tiada seorang pun pula yang dapat mengetahui di bumi mana ia akan mati; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Luqman:34)

Kemudian orang itu pergi. Maka bersabda Rasulullah saw.,”Panggillah orang itu kembali!” Para sahabat berusaha mencarinya, tetapi mereka tidak mendapatkannya lagi. Maka bersabda Rasul ullah saw., “Itulah Jibril! Dia sengaja datang hendak mengajarkan agama kepada Anda sekalian, kerana Anda tidak menanyakannya. “

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0002 Topik adalah Iman.

Dari Abu Hurairah r.a., kata nya: “Pada suatu hari Rasulullah saw. nampak sedang berkumpul dengan orang banyak. Sekonyong-konyong datang kepadanya seorang laki-laki, lalu dia bertanya: Ya, Rasulullah! Apakah yang dikatakan Iman?” Jawab Nabi saw., “Iman ialah: (1) Iman dengan Allah; (2) Iman dengan para malaikat-Nya; (3) Iman dengan Kitab-kitab-Nya; (4) Iman akan menemui-Nya; (5) Iman dengan para Rasul-Nya; dan (6) Iman dengan berbangkit di akhirat.” Dia bertanya pula, “Apakah yang dikatakan Islam?” Jawab Rasulullah saw., “Islam ialah: (1) Menyembah Allah, dan tidak mempersekutukan-Nya dengan yang lain-lain; (2) Menegakkan solat fardu; (3) Membayar zakat wajib; (4) Puasa Ramadhan.” Tanyanya pula, “Ya, Rasulullah ! Apakah yang dikatakan Ihsan?” Jawab Nabi saw., “Menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekalipun engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” Tanyanya pula, “Bilakah terjadi hari Kiamat?” Jawab Nabi saw., “Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang menanya. Tetapi akan kuterangkan kepada mu tanda-tandanya: (1) Apabila hamba-sahaya perempuan telah melahirkan majikannya, itu adalah salah satu tandanya; (2) Apabila orang miskin yang hina-dina telah menjadi pemimpin, itu juga termasuk tanda-tandanya. (3) Apabila gembala ternak yang hina, telah bermewah-mewah di gedung nan indah, itu pun termasuk tanda-tandanya.

Selanjutnya, ada lima perkara yang tidak seorang pun dapat mengetahuinya selain Allah. Kemudian Rasulullah saw. membaca ayat: “Sesungguhnya Allah, hanya Dia sajalah yang mengetahui tentang hari kiamat; dan Dialah yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya besok; dan tiada seorang pun pula yang dapat mengetahui di bumi mana ia akan mati; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Luqman : 34)

Kemudian orang itu berlalu. Maka bersabda Rasulullah saw., “Panggil orang itu kembali!” Para sahabat berusaha mencari orang itu untuk memanggilnya kembali, tetapi mereka tidak melihatnya lagi. Maka bersabda Rasulullah saw., “Itulah Jibril. Dia datang mengajarkan agama kepada orang banyak.”

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0001 Topik adalah Iman.

Dari Yahya bin Ya’mar r.a., katanya: “Orang yang mula-mula bicara di Bashrah menentang adanya Qadar, ialah Ma’bad Al Juhani. Maka pada suatu ketika, aku dan Humaid bin Abdurrahman Al Hamairi, sama-sama pergi haji atau umrah. Kami berdua sepakat, jikalau bertemu dengan salah seorang sahabat Rasulullah saw., kami akan menanyakan kepada mereka masalah Qadar’ itu. Justeru kami bertemu di dalam masjid, dengan ‘Abdullah bin ‘Umar bin Khaththab. Kami langsung mendekati dan mengapitnya di kanan-kiri beliau. Dalam pada itu aku telah menduga, bahawa sahabatku Humaid akan menyerahkan pembicaraan kepada ku. Kataku kepada Abu ‘Abdurrahman, “Telah muncul di hadapan kita para pembaca Al Quran dan para ilmuwan. Mereka mendakwakan bahawa Qadar itu tidak ada. Segala sesuatu terjadi menurut Qudratnya, tanpa didahului Qadar dan Ilmu Allah.” Jawab ‘Abdullah bin ‘Umar, “Apabila engkau bertemu dengan mereka, katakan bahawa aku tidak sependapat dengan mereka. Demi Allah! Kalaulah mereka mempunyai sebungkal emas, kemudian emas itu dinafkahkannya, maka Allah swt. tidak akan menerima nafkah mereka itu sehingga mereka iman dengan Qadar.” Kemudian dilanjutkannya, Pada suatu hari ketika kami sedang berada di sisi Rasulullah saw., sekonyong-konyong muncul di hadapan kami seorang lelaki berpakaian sangat putih dan berambut sangat hitam. Tidak terlihat padanya bekas perjalanan dan tidak seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Dia terus duduk ke dekat Nabi saw., lalu disandarkannya lututnya ke lutut Nabi, dan diletakkannya kedua tapak tangannya ke pahanya.” Dia berujar, “Ya, Muhammad! Terangkanlah kepada ku tentang Islam.”

Jawab Nabi saw., “Islam ialah:(1) Mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa Muhammad Rasulullah; (2) Mendirikan solat; (3) Membayar zakat; (4) Puasa Ramadhan; dan (5) Haji ke Baitullah, jika engkau sanggup melaksanakannya.” “Engkau benar!” kata orang itu. Kata ayahku, “Kami hairan terhadap orang itu; dia yang bertanya tetapi dia pula yang mengatakan benar.” Kemudian orang itu berkata pula, “Terangkanlah kepada ku tentang Iman!”

Jawab Nabi saw., “Iman ialah: (1) Iman dengan Allah; (2) Iman dengan para malaikat-Nya; (3) Iman dengan Kitab-kitab-Nya; (4) Iman dengan para Rasul-Nya; (5) Iman dengan qadar baik maupun buruk.” Kata orang itu, “Engkau benar!” Kemudian dia berkata pula, “Terangkanlah kepada ku tentang Ihsan.”.

Jawab Nabi saw., “Ihsan ialah: menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekalipun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.” Katanya pula, “Terangkanlah kepada ku tentang Kiamat!” Jawab Nabi saw., “Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang menanya.” Katanya, “Terangkanlah kepada ku tanda-tandanya!” Jawab Nabi saw., “Apabila hamba-sahaya perempuan telah melahirkan majikannya, dan apabila orang-orang dusun yang melarat telah bermewah-mewah di gedung-gedung nan indah.”

Kata ayahku, “Kemudian orang itu berlalu. Tetapi tidak berapa lama antaranya, Rasulullah saw. bertanya kepada ku, “Tahukah engkau, siapakah gerangan yang bertanya itu?” Jawab ku, “Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu.” Sabda Rasulullah saw., “Dia adalah Jibril.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.